Popular Posts

Friday, June 1, 2012

Monolog hati bahawa mati itu pasti..

Sejak dua minggu lepas, saya menggunakan exit ketiga untuk keluar dari kampus UIAM. Exit ketiga ini akan keluar ke simpang untuk ke Kg Sungai Pusu di sebelah kiri dan ke Kuala Lumpur di sebelah kanan. Setiap kali membelok ke sebelah kanan, saya akan ternampak Tanah Perkuburan Islam Kg Sungai Pusu. Setiap kali saya melalui tanah perkuburan ini, saya akan cuba memperlahankan kenderaan dan mata melihat ke puncak bukit di mana batu-batu nesan jelas kelihatan. Sambil memberi salam kepada ahli-ahli kubur yang telah dulu meninggalkan kita, saya memuhasabah diri apa yang telah dibuat hari ini. Juga saya mengingatkan diri bahawa itulah tempat yang akan saya tinggal bila nyawa sudah diambil oleh Tuan Empunya diri ini. Sesungguhnya saya akan mengikuti kamu semua pada suatu hari nanti. Saya yakin, ahli-ahli kubur ini juga menanti kehadiran saya agar saya memberi doa kepada mereka. Walaupun saya tidak mendengar jawapan mereka, tetapi saya yakin yang mereka mendengar doa dan salam saya.

Setiap kali pulang dari pejabat, saya tidak sabar-sabar untuk melalui jalan ini....Sekaligus, mengingatkan saya bahawa inilah tempat yang akan saya kembali dan bertemu ilahi. Mudah-mudahan jika saya ditanam di sini, harap-harap ada lagi orang seperti saya yang tak sabar2 untuk melalui jalan ini sambil mengucap doa dan salam kepada saya yang telah pergi......


Monday, May 28, 2012

Aku dan Ibu...





Kasih ibu membawa ke syurga. Doa ibu adalah segala. Kehadiran ibu menjadi pembela. Ibu adalah rahmah Allah yang datang berjela.
Ibu saya yang dipanggil Ma adalah seorang wanita yang kuat dari segi fizikal dan mental. Ibu saya tidak berpendidikan tinggi tetapi setiap tindak tanduk dan aktiviti yang dibuat mengalahkan orang yang mempunyai Ph.D. Ibu saya seorang yang kuat semangat bila melihat anak-anak dalam keadaan susah dan lemah. Ibu adalah sumber kekuatan hidup saya. Mudah-mudahan Allah memberi ibu saya  kesihatan yang baik agar dapat pergi masjid dan mengaji Quran iaitu aktiviti kegemaran dia sejak anak-anak sudah besar belaka. Saya juga turut berazam agar saya juga akan menjadi seperti ibu......


" Sesiapa yang tahu betapa bernilainya seorang wanita dan misteri yang ada di sebalik ketenangan jiwa di wajah mereka, pasti  mereka  tidak akan mengelakkan diri dari menyintai seorang  wanita. Sesungguhnya cinta, kasih sayang dan penghargaan pada wanita adalah sebahagian dari kesempurnaan iman seseorang kerana ianya adalah Sunnah Rasulullah SAW dan Cinta Ilahi"
[ Ibn al Arabi]


Friday, May 25, 2012

Cerita pagi jumaat...

Seorang pelajar lelaki tahun satu datang ke bilik saya tadi.

Pelajar: Ustazah, saya nak berhenti belajar...( matanya yang berkaca merenung saya)

Ustzazah: Hah? Exam contract kelmarin lagu mana?

Pelajar: Saya tak ambil exam kelmarin..( sambil mata tunduk ke bawah)

Ustazah: Dah beritahu mak ayah atau sesiapa pasal isu ni?

Pelajar: Belum ustazah...( menangis...)

Ustazah: Bagi saya no telefon mak awak. Biar saya cakap dengan mak...

Pelajar: Jangan ustazah...Biar saya simpan sendiri... ( sambil teresak2)

Ustazah: Kenapa awk nak berhenti?

Pelajar: Saya nak jaga ayah saya yg sakit...( sambil kesat airmata yg tidak berrhenti mengalir)

Ustazah: betul ke awak nak jaga? atau awak nak duduk ssajo?

Pelajar: Saya tak ada semangat nak belajar. Saya rasa putus asa. Tiada motivasi untuk terus belajar.

Ustazah: Bu ( bukan nama sebenar), tengok saya.... Bu, tengok saya, please... ( airmata sudah menanti utk mengalir) Boleh tak awak jadikan saya sebagai inspirasi kepada awak agar awak lebih bersemangat untuk belajar? Boleh tak awak kata pada diri awak, " kalau saya tak ada kat AIKOL ni, saya tak boleh jumpa ustazah lagi.."

Pelajar: (senyum nampak gigi...(mungkin tak percaya )sambil merenung saya) Ya betul , ustazah! betul...

Ustazah: ( senyum juga sambil ambil tisu kesat airmata)

Pelajar: Ok, saya nak ambil exam petang ni. Saya akan jadikan ustazah sebagai sumber inpirasi dalam hidup saya...Saya minta diri dulu, ye?

Ustazah: ya, Bu....jaga diri baik-baik

Di dalam bilik, saya termenung sendirian sambil mengeluh panjang. Begitu rapuh jiwa anak muda sekarang. Tetapi hanya dengan kasih sayang, sedikit perhatian dan kata-kata perangsang sudah cukup mengubah perasaan mereka....

Abu, Abu.....

Thursday, May 24, 2012

Doa untuk kita...

Setiap kali awal semester bermula, saya tidak akan lupa memohon doa kepada Allah agar diberi kesihatan yang baik agar dapat mengajar dengan sempurna tanpa meninggalkan kelas satu pun. Saya juga turut berdoa kepada Allah agar dipanjangkan usia agar dapat menyiapkan silibus untuk semester itu. Risau sangat, kalau Allah cabut nyawa semasa semester sedang berlangsung ditakuti menyusahkan pelajar-pelajar dan Jabatan untuk mencari ganti. Sebaik saja peperiksaan akhir semester berakhir, doa yang sama turut saya panjatkan sekali lagi agar dapat menyiapkan marking kertas jawapan pada waktunya kerana tak nak menyusahkan orang lain.

Walaupun saya tahu, itu semua kerja Allah yang Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita, tetapi tidak salah untuk kita mendoakan sedemikian. Ketetapan Allah itu boleh berubah dengan doa yang dipinta dan usaha yang berlipat ganda.

Kelas sudah habis dan peperiksaan sudah bermula minggu ini.. Saya ingin berpesan agar pelajar-pelajar  menjaga hak Allah dan hak manusia sepanjang musim exam ini. (kalau boleh selama-lamanya) Banyakkan bersedekah dan membaca al Quran. Jangan lupa berbuat baik pada ibubapa ( jika masih ada) dan meminta mereka mendoakan yang terbaik untuk kita. Bila habis exam, jangan lupa juga untuk mendoakan agar diberi ketenangan di dalam hati guru-guru semasa memeriksa kertas jawapan kita. Jauhkanlah dari sifat serabut, marah dan tertekan semasa menunaikan tanggungjawab tersebut.

                            Akhir kata, selamat menduduki peperiksaan! Bi al Tawfiq wa al Najah...




Tuesday, May 22, 2012

Gelang tangan merah jambu




Gelang tangan merah jambu
Menjadi pilihan kalbu
Bila berjalan ke lembah menderu

Gelang tangan merah jambu
sesuai dengan lenganku berwarna kelabu
Bila disorong, mahu kekal di situ

Gelang tangan merah jambu
Dipegang, ditilik, ditinggal di situ
ku rasa tidak mampu
Bila ku seluk saku
Yang tiada beribu

Ku harap gelang itu
menjadi hadiah dari mu
untuk Hari Jadiku....

;)


Thursday, May 17, 2012

Terimakasih semua!!



Di sini saya kepilkan 3 keping gambar iaitu 2 kad ucapan Hari Guru yang saya terima dari pelajar-pelajar saya. Kad yang bertajuk Thank you Ustazah itu datangnya dari pelajar2 tahun satu. Kad yg kedua yang berwarna merah jambu itu adalah dari pelajar2 tahun dua.Gambar yang ketiga ialah tandatangan pelajar2 dalam kelas tersebut. Sungguh terharu menerima kad sebesar ini. Mudah2an mereka akan sentiasa ingat dan mendoakan saya sehinggalah saya tiada lagi di dunia ini. inshaAllah...



Wednesday, May 16, 2012

Hari Guru, hari terharu buat saya...

Seawal jam 6.30 petang semalam, saya sudah pun menerima ucapan Hari Guru dari pelajar-pelajar saya, jauh dan dekat, serta yang sudah grad dan yang masih lagi belajar dengan saya. Ucapan diterima melalui SMS, whatsapp, facebook dan panggilan telefon. Satu lagi saya nak tekankan di sini ialah tiada istilah bekas guru atau bekas pelajar. Selagi dia bernama guru, dia akan tetap guru kita sampai ajal tiba.

Sebaik saja selesai mengerjakan solat zohor tadi, saya termenung seketika sambil memandang beberapa jenis hadiah yang saya terima dari pelajar2 saya. Sungguh tidak disangka, ramainya "peminat". Rasa sungguh meriah sangat hari ini. Dari yang datang ziarah dan yang bagi hadiah. Jari saya pun lenguh membalas mesej ucapan dari pelajar2 saya. Rata-rata, "peminat2" saya meminta saya mendoakan kejayaan mereka dan mengucapkan terimakasih mereka kepada saya. Tiba-tiba saya terfikir, jika saya sudah tiada lagi di dunia ini, adakah mereka masih ingat lagi pada saya? adakah semeriah ini "ucapan takziah" yg akan saya terima? Sedang saya cuba menyeka airmata dari jatuh tiba2 saya menerima satu lagi mesej dari jauh di bumi Arab yg turut mengucapkan Hari Guru kepada saya. Terasa sungguh istimewa sekali :)

Jika saya sudah tiada lagi di dunia, jangan lupa doakan saya. Sedekahkanlah fatihah dan ayat2 suci al Quran jika anda semua tidak lupa. Maafkan segala salah silap semasa bicara. Saya juga manusia biasa dan bukannya wanita luarbiasa. Banyak benda saya lupa dan kadang2 terkata.

Semoga pada hari saya terlelap untuk ke sekian kalinya, mudah2an akan semeriah Hari Raya, penuh doa dan airmata. Merelakan saya pergi dengan penuh redha. Mudah2an bertemu lagi...tetapi di mana ya? Hanya Tuhan yg Maha Esa tahu jawapannya... Mudah2an dengan RahmatMu, kita akan berjumpa di syurga....amin